Wednesday, February 15, 2012

Fuhhh!

Salam 'alaikum. Salam buat semua.

Angin monsun apa tiba-tiba ownerkedaikopi ni rajin sangat tambah-tambah entri.
Hey, bersyukurlah masih ada internet, boleh membaca.
Oh. Alhamdulillah.

Terjaga dari lena awal pagi tadi disebabkan bunyi jam loceng yang bingit.
Ok. Masa untuk bangun. Berbalam-balam sumber bunyi kelihatan.
Huh. Siapa pula rajin sangat berpesanan FB tengah-tengah pagi buta ni.
Kejap lagi lah baca.

Mungkin pesanan itulah yang membawa angin aura diabetes ke Warsaw belakangan ini.
Yang buat saya tersenyum. Sepanjang hari. Setakat inilah.
Walau bebola putih kecil turun ke bumi dengan meriahnya hingga menyebabkan jaringan tram meragam tak nak bergerak yang akhirnya menyebabkan saya lambat tiba di kelas. Masih mampu tersenyum.
Oh! Angau apakah ini?

Sahabat saya, yang sama-sama ponteng kelas untuk makan nasi lemak mak cik depan sekolah acap kali saya ke rumahnya untuk bermain-main dengan adiknya yang comel gila, yang sayang saya lebih daripada kakak dia sendiri (ok, perasan), yang mencampak telefon bimbitnya ke bawah dari tingkat 3 rumahnya. Huu. Ekstrem sungguh!

Sahabat saya, yang merupakan orang pertama yang menegur saya apabila saya berpindah ke sekolah baru.

Sahabat saya, yang pernah kena baling tepung pada ulang tahun kelahirannya. Bukan dengan tepung gandum, tapi tepung kanji. Aduh. Melekat habis semua.

Sahabat saya, yang dengan motosikal bapanya lah kami "mengajar" sahabat kami yang seorang lagi untuk menunggang motosikal (dan pertama kali juga kami merasa jatuh motor tergolek sakan).

Sahabat saya, yang rumahnya lah menjadi tempat santapan tengahari kami tatkala ada kokurikulum pada waktu petangnya.

Sahabat saya, yang emaknya lah yang menjahit baju kurung sekolah saya.

Sahabat saya, yang tak henti bergelak sakan apabila dapat tahu saya ditawarkan menjadi pengawas sekolah.  -__-"

Sahabat saya, yang sudah lama saya bercita-cita untuk melawat keluarganya yang berpindah jauh ke utara tanah air, tapi masih belum diizinkanNya untuk bertemu.

Sahabat saya, yang pernah berkata pada saya ketika di tingkatan 4 "weh, kau jangan kahwin tau sampai bila-bila. Nanti kita bertiga (dengan seorang lagi sahabat kami) tinggal serumah. Kau jaga aku, aku jaga kau".

Dan sahabat saya yang itulah yang menghantar pesanan kepada saya pagi ini, 6 tahun kemudian, yang berbunyi
"Weh aku nak kahwin... Lagi 10 hari".

Mabrouk 'alayk sahabat! Semoga rumah tangga yang bakal dibina sentiasa dilimpahi barakah, mawaddah wa rahmah. Moga dengan tingkatan tangga yang didaki dapat mendekatkan lagi kalian kepadaNya. Amiin.

Selamat (bakal) pengantin baru, sahabat!

Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.
[65:3]

ps: Terharu lebih pula sahabat seorang ni nak tinggalkan kita satu langkah ke hadapan.
ps2: Tiba-tiba teringat soalan adik saya beberapa hari yang lalu. "Kakak bila nak kahwin?" *pengsan*

No comments: